SEORANG LAGI PENGARAH SYARIKAT GENNEVA MALAYSIA SDN BHD & GENNEVA SDN BHD DITUDUH DI BAWAH AKTA SYARIKAT 1965
Khamis, 13 Februari 2014 – Seorang lagi pengarah syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd dan Genneva Sdn Bhd iaitu Ahmad Khairuddin Ilias (‘Khairuddin’) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini bagi menghadapi 12 pertuduhan berhubung dengan ketidakpatuhan di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta 125).
Pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi Khairuddin adalah melibatkan ketidakpatuhan di bawah Seksyen 143(1), 165(4) dan 169(1) Akta Syarikat 1965 yang mana beliau selaku pengarah di kedua-dua syarikat tersebut telah gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, lewat menyerahsimpan Penyata Tahunan dan gagal membentangkan Akaun Untung & Rugi syarikat-syarikat tersebut bagi tahun takwim 2010, 2011 dan 2012.
Kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 143(1) Akta Syarikat 1965 memperuntukkan denda sehingga RM5,000.00, Seksyen 165(4) sebanyak RM2,000.00 dan Seksyen 169(1) pula sebanyak RM30,000.00 atau 5 tahun penjara jika sabit kesalahan.
Sebaik sahaja semua pertuduhan dibacakan, Khairuddin memohon untuk kesemua kes dibicarakan. Hakim Mahkamah Sesyen 12 Kuala Lumpur, Tuan Dazuki Ali kemudiannya menetapkan 25 Mac 2014 sebagai tarikh sebutan bagi pihak pendakwaan menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 51A, Kanun Tatacara Jenayah.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Zulkhairi Kamaruzaman hadir menjalankan pendakwaan manakala Khairuddin diwakili peguam Mohd Hairani Samsi.
Kegagalan mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 adalah satu perlanggaran undang-undang yang dipandang serius oleh SSM. Tindakan pendakwaan yang dijalankan oleh SSM ini diharapkan dapat memberi peringatan kepada syarikat dan pegawai-pegawai syarikat agar sentiasa mematuhi Akta Syarikat 1965.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH : 13 FEBRUARI 2014
BERTARIKH : 13 FEBRUARI 2014
No comments:
Post a Comment