Friday, November 29, 2013

SYARIKAT TIARA AGIH SDN BHD DAN PENGARAH-PENGARAHNYA DISABITKAN DENGAN KESALAHAN GAGAL MENYERAHSIMPAN PENYATA TAHUNAN KEPADA PENDAFTAR SYARIKAT DI BAWAH SEKSYEN 165(4) AKTA SYARIKAT 1965 Mahkamah Majistret Kuala Terengganu telah mensabitkan syarikat Tiara Agih Sdn Bhd dan pengarah-pengarahnya iaitu Tengku Mahri Bin Tengku Chik dan Abdul Hamid Bin Rahasid kerana gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan syarikat tersebut bagi tahun 2011 dan 2012 kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh yang ditetapkan. Syarikat dan kedua-dua pengarah yang diwakili Mohd Hazwan Bin Hamidon daripada Tetuan Rafaei & Co. mengaku salah bagi kesemua pertuduhan terhadap mereka di bawah Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965. Puan Rozianti Binti M. Hanaphi, Majistret Mahkamah Kuala Terengganu telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,400.00 bagi dua (2) pertuduhan terhadap syarikat dan RM3,000.00 bagi dua (2) pertuduhan masing-masing terhadap pengarah-pengarahnya dengan jumlah keseluruhan RM9,400.00, jika gagal bayar denda tersebut, hukuman penjara selama lima (5) hari bagi setiap kesalahan yang disabitkan boleh dikenakan terhadap pengarah-pengarah syarikat. Kesemua mereka membayar denda di mahkamah. Oleh kerana pada tarikh sebutan, syarikat masih lagi gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan tersebut, satu notis penalti ingkar di bawah Seksyen 370(1) Akta Syarikat 1965 telah dikeluarkan terhadap syarikat selepas hukuman dijatuhkan bertujuan meminta syarikat agar menyerahsimpan penyata-penyata tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh jatuh hukum 26 September 2013. Sekiranya gagal, syarikat dan pengarah-pengarah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 165(7) di baca bersama Seksyen 370(1) Akta Syarikat 1965 iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga tidak lebih RM200.00 sehari selagi kesalahan tersebut berterusan. Pendakwaan dijalankan oleh Encik Mohd Fauzi Bin Awang dari Unit Pendakwaan Seksyen Penguatkuasaan SSM Terengganu. Kegagalan syarikat dan pengarah-pengarahnya untuk mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 adalah satu perlanggaran undang-undang yang serius. Tambahan pula, kegagalan untuk menyerahsimpan Penyata Tahunan kepada SSM akan menyebabkan orang awam tidak boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini bagi menentukan kestabilan dan status sesebuah syarikat. Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah di atas diharap dapat bertindak sebagai peringatan kepada syarikat dan pegawai-pegawainya agar sentiasa mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965. DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) TERENGGANU TARIKH : 26 SEPTEMBER 2013

No comments:

Post a Comment